Friday, February 18, 2011

Burung Walet : Lonjakan Perusahaannya


Lonjakan Perusahaan Sarang Burung Walet

Industri penternakan burung layang-layang di Malaysia telah menyaksikan lantunan serta lonjakan pertumbuhan untuk tempoh lapan tahun sebelum ini.


Ladang-ladang ternak kebanyakannya dibina di bandar-bandar kecil di mana sumber makanan melimpah dan tahap pencemaran masih rendah.


Kerajaan Perak misalnya, menawarkan 10 kawasan berpotensi untuk peladangan burung layang-layang, manakala Johor mencadangkan sebuah taman eko burung layang-layang di Endau dan Desaru.


Kerajaan Negeri Sembilan juga menunjukkan minat yang sama untuk membina sebuah taman eko bagi tujuan tersebut.


Bank Pertanian Malaysia atau kini dikenali sebagai AgroBank menawarkan pembiayaan sehingga 85 peratus berikutan perusahaan sarang burung kini menjadi sebahagian daripada industri berasaskan tani.


Suruhanjaya Koperasi Malaysia pula telah mengiktiraf enam buah syarikat pengusahaan sarang burung bagi menjalankan usahasama perniagaan dengan gerakan koperasi di seluruh Malaysia di bawah program pemadanan perniagaan (business matching).


Namun begitu, perunding dan pakar reka bentuk rumah burung layang-layang, Abdul Aziz Mohd. Rejab dari GEM Sdn. Bhd., memaklumkan buat masa ini hanya 20 peratus daripada keperluan dunia dapat dipenuhi.


Bagi memenuhi keperluan pasaran, GEM Sdn. Bhd. bekerjasama dengan beberapa kementerian dan agensi kerajaan termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menganjurkan seminar dan kursus kepada para usahawan yang berminat.


No comments:

Post a Comment