Pembangunan Ladang
Pemilihan dan mendapatakan kawasan yang sesuai sangat penting dan memulakan perancangan yang baik agar suasana dan persekitaran nyaman dan selesa untuk itik membesar dan memudahkan pengurusan harian.
Kemudahan bekalan air untuk ternakan dan mencuci serta bekalan elektrik perlu ada. Tanah bekas lombong, kawasan tinggi atau kering ladang kelapa sawit sesuai untuk pengurusan sistem ‘deep litter’ sama ada secara intensif atau separa intensif.
Cuaca negara kita sentiasa panas dan lembap, reban perlu direka bentuk untuk mengurangkan tegasan iklim, memberi pelindungan itik semasa peringkat membesar sehingga peringkat jual. Reban dibina menggunakan kayu dan beratap rumbia atau zink. Bumbung berbentuk double ridge dan dinding terbuka membantu pengudaraan. Tinggi minima bahagian tengah 14 kaki, tepi 8 kaki dan cucur tepi kira –kira 5 kaki bagi mendapat suasana selesa, pengudaraan yang baik dan terhindar dari tempias ketika hari hujan.
Reban berukuran 300 kaki panjang dan 24 kaki lebar boleh memuatkan 5000 ekor itik sehingga peringkat jual. Selain bahagian reban penyediaan bahagian legar berpagar depan reban perlu, terutama musim panas.Lantai simen mengelakkan kelembapan dan memudahkan pembuangan sarap setiap kali selesai satu pusingan ternakan.
Kemudahan jalan dan sistem perparitan dan saliran yang baik perlu ada. Bekalan elektrik dan air yang bersih untuk minuman dan cucian sangat perlu.
Peralatan:
Kepungan
Zink licin setinggi 11/2 kaki disambung menggunaka penyepit/penyokong kayu dibentuk bulat keliling dengan panjang rentas 8 meter untuk menampung setiap 1000 ekor anak itik.
Bahan sarap
Sekam padi atau habuk papan digunakan sebagai alas lantai simen. Sarap perlu di urus dengan baik, jika basah ianya harus dibuang dan ditambah dari masa ke semasa bagi memastikan lantai reban sentiasa kering.
Alat pemanas
Set pemanas jenis LPG sesuai digunakan. Alat ini digantung di tengah-tengah kepungan dan dipasang 1- 2 jam sebelum ketibaan anak itik bagi menyediakan suasana persekitaran yang hangat dalam perindukan.
Bidai
Bidai/dinding plastik sangat diperlukan diperingkat perindukan sahaja iaitu pada itik berumur 1 hingga 3 minggu bagi melindungi ternakan dari angin sejuk malam dan ketika hari hujan.
Bekas makanan dan minuman
Bentuk dan saiz bekas makanan dan minuman berbeza mengikut umur itik. Bilangan juga perlu ditambah dari masa ke semasa untuk memastikan itik mendapat makanan dan minuman yang mencukupi. Bekas air berbentuk tabung 1 dan 2 gelen juga palung automatik digunakan. Bekas makanan berbentuk dulang, palung papan panjang dan jenis kotak sesuai untuk itik daging.
Operasi dan pengurusan
Pengurusan itik muscovy terbahagi kepada 3 peringkat:-
- Peringkat perindukan - 1 hingga 2 minggu.
- Peringkat umur - 3 hingga 4 minggu.
- Peringkat membesar - 5 hingga 13 minggu.
Tempoh perindukan anak itik pedaging dari umur sehari hingga dua minggu sangat penting dan memerlukan penjagaan yang sempurna. Pada hari ketibaan anak itik dikira, ditimbang dan terus di masukkan ke dalam kepungan. Air minuman yang bercampur vitamin diberikan dengan segera.
Suhu dalam reban ialah 35 darjah celcius diperlukan untuk minggu pertama dan dikurangkan setiap hari sehingga mencapai 27- 30 darjah celcius. Setelah itik minum dan bergerak cergas barulah diberi makanan peringkat awal. Palong minuman sebaiknya dilapik dengan dulang bagi mengurangkan kecah dan kelembapan sarap. Palong minum diletak berselang- seli dengan palong makanan keliling dalam kepungan.
Bidai sekeliling reban dipasang bagi melindungi anak itik dari kesejukkan dan mengawal suhu secara tetap dalam reban. Keadaan suhu dalam reban yang sesuai dan selesa dapat dilihat dengan memerhatikan kelakuan anak itik di dalam kepungan. Jika suhu terlalu sejuk anak itik akan berkumpul dan akan berhimpit- himpit di satu tempat. Jika terlalu panas anak itik akan berselerakkan serta tercungap-cungap serta kepak yang terbuka. Haba perlu dibekalkan pada waktu pagi dan malam atau waktu hujan. Bidai mula diselak secara beransur- ansur selepas 2 minggu.
Peringkat 3 hingga 4 minggu, bidai di gulung sepenuhnya kecuali hari hujan lebat. Kepungan dan alat pemanas di keluarkan. Dulang makanan anak ditukar kepada palong panjang. Makanan peringkat pembesar berbentuk pelet mula dicampurkan berperingkat dan seterusnya penggunaan sepenuhnya. Palong minuman kecil ditukar pada palong automatik kerana diperingkat ini itik mula minum dengan banyak.
Peringkat membesar 5 hingga 13 minggu, pada peringkat ini makanan dan minuman perlulah sentiasa mencukupi kerana itik mula membesar dengan cepat dan pengambilan makanan meningkat. Untuk menyediakan makanan yang banyak dan sentiasa mencukupi, makanan mula diisi di dalam bekas berbentuk peti. Pada waktu siang dan cuaca panas, pintu reban dibuka bagi membolehkan itik keluar ke ruang legar depan reban.Elakkan itik dari gangguan pengurusan dan tegasan iklim sehingga sampai waktu dipasarkan.
Pengurusan yang baik akan menghasilkan pembesaran itik yang baik
Pengeluaran yang baik bergantung pada makanan ternakan yang bermutu.Makanan permulaan (starter crumble) perlu mengandungi 19 – 22 % CP dan makanan pembesar (finisher pellet) mengandungi 16- 18 % CP. Makanan permulaan adalah untuk anak itik umur sehari sehingga 3 minggu dan makanan pembesar adalah untuk peringkat 4 minggu hingga jual.Dedak komersial boleh didapati di pasaran.
Kesihatan dan Amalan yang Baik
Itik yang sihat menentukan keuntungan. Pengurusan yang baik dapat mengawal kadar kematian di paras 3 % setiap kumpulan.
Program suntikan pelalian perlu diamalkan bagi mengelakkan penyakit berpunca dari virus tertentu. Khidmat nasihat Jabatan Perkhidmatan Haiwan perlu diterap dalam pengurusan harian.
Memotong paruh juga perlu dilakukan kerana itik muscovy mempunyai paruh yang mencangkuk (tajam). Dalam keadaan stress selalunya pada umur 2-3 minggu itik akan patuk-mematuk bahagian belakang dan bulu yang baru tumbuh.
Mengawal kemasukan penyakit dengan mengawal pergerakan pelawat, pekerja, kenderaan. Menyediakan ‘foot-bath’ membasmi kuman di hadapan setiap pintu masuk ladang/reban sangat-sangat diperlukan.
Hapuskan tikus dan burung yang berkeliaran di dalam reban kerana binatang-binatang ini pembawa penyakit dan bakteria.
Penternakan itik juga perlu diurus dengan baik dan mesra alam.
Air cucian dari reban perlu di salurkan ke dalam kolam kumbahan yang disediakan oleh pihak ladang. Itik yang mati tidak wajar di buang merata- rata bagi mengelakkan pencemaran bau dan penaykit.
Lubang pembuangan itik mati yang bertutup papan tebal sedalam 4 hingga 6 kaki dalam perlu dibuat bagi mengatasi masalah ini.
Ladang perlu mewujudkan dan mengamalkan sistem rekodan yang baik.Data- data boleh membantu pengusaha menganalisis pengurusan bagi membaiki kelemahan dan meneruskan usaha, pencapaian yang baik bagi menjamin keuntungan yang lumayan dan berterusan.
Sumber JPH
*Sekadar perkongsian teori dan sedikit pengalaman,,, kami di QudRifaRm pernah menternak sehingga 10,000 ekor itik pelbagai jenis seperti itik telur,,, nila,,, angsa,,, jawa,,, jawi pekan sehingga tahun 2005... Sekarang masih diternak untuk jualan kecil-kecilan sahaja...
tahniah... ataspenerbitan banyak artikel penternakan... banyak yg saya pelajari disini
sama sama dapat manfaat berguna
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Jom Terjah entry terbaru ??
diy polishing crome sportrim
TQVM... Semoga penerbitan semula artikel dan sedikit pengalaman yang dikongsi bermanfaat untuk semua...